Soalan-soalan lazim tentang Perceraian

  1. Apakah jenis perceraian yang boleh difailkan di Mahkamah Syariah?
    Terdapat beberapa jenis perceraian yang boleh difailkan iaitu:

    Perceraian Persetujuan Bersama
    Perceraian Fasakh
    Khuluk (Tebus Talak)
    Pengesahan Cerai
    Pengesahan Lafaz Taklik
    Apakah alasan yang membolehkan saya memfailkan perceraian secara Fasakh?
    Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Fasakh boleh dipohon berdasarkan alasan berikut:

    Keberadaan suami/ isteri tidak diketahui melebihi satu (1) tahun.
    Suami gagal/cuai menyediakan nafkah selama tiga (3) bulan.
    Suami/ isteri dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih.
    Suami/ isteri telah tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh satu tahun.
    Suami telah mati pucuk.
    Suami/ isteri telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit.
    Isteri telah dikahwinkan oleh wali Mujbir sebelum mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan belum disetubuhi oleh suaminya.
    Suami/ isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu:
    Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan menderita.
    Berkawan dengan perempuan/ lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.
    Memaksa isteri hidup secara lucah.
    Melupuskan harta isteri/ suami atau melarang isteri/ suami itu dari menggunakan hak.
    Menghalang isteri/ suami dari menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.
    Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang dan tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil.
    Isteri masih belum disetubuhi selepas empat bulan bernikah kerana keengganan suami.
    Apa-apa alasan lain yang diiktiraf di bawah Hukum Syarak.
    Apakah maksud perceraian taklik?
    Taklik adalah perjanjian yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah dan cerai taklik boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas lafaz taklik tersebut dan disahkan oleh Mahkamah Syariah.

    2.Suami saya ada melafazkan cerai bersyarat kepada saya, adakah ia juga dianggap sebagai lafaz taklik?
    Ya. Sebagai contoh jika suami melafazkan “Kalau awak keluar dari rumah ini, saya ceraikan talak satu”, ia adalah lafaz taklik dan suami atau isteri perlu memfailkan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah.

    3.Bagaimana cara untuk memfailkan perceraian secara khuluk (tebus talak)?
    Jika kedua pihak bersetuju bercerai secara tebus talak, Mahkamah akan mengarahkan suami melafazkan perceraian dengan cara penebusa dan perceraian itu tak boleh dirujuk semula.

    Namun jika pihak-pihak tidak bersetuju dengan jumlah bayaran tebus talak, Mahkamah akan mempertimbangkan berdasarkan sumber kewangan pihak-pihak dan menetapkan jumlah tersebut.

    4.Suami saya telah meninggalkan saya dengan gantung tak bertali, adakah saya boleh memfailkan perceraian atas alasan ini?
    Tiada istilah gantung tak bertali di Mahkamah Syariah, jika pihak isteri ingin memfailkan tuntutan perceraian, boleh memohon perceraian secara fasakh, taklik, khuluk atau secara hakam.

    5.Saya dan suami bertengkar di rumah dan suami telah melafazkan talak. Apa yang perlu saya lakukan?
    Perceraian tidak hanya berlaku di Mahkamah Syariah sahaja dan ia boleh berlaku di mana-mana. Malah perceraian ini juga boleh berlaku secara lisan atau bertulis.

    6.Apabila kejadian ini berlaku, pihak suami/ isteri perlu memfailkan pengesahan lafaz talak tersebut di Mahkamah Syariah. Apabila Mahkamah mengesahkan perceraian tersebut, pihak-pihak perlu mendaftarkan perceraian tersebut di Pejabat Agama Islam.

    7.Selepas berlaku perceraian, apakah hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri?
    Hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri selepas berlaku perceraian adalah:

    Nafkah Iddah.
    Mut’ah.
    Harta Sepencarian.
    Hak Jagaan Anak (Hadhanah).
    Nafkah Anak.
    Tunggakan Nafkah Isteri/Anak.

    Disediakan Oleh
    Khairul Mohamed
    Partner/Mediator