Adalah amat penting untuk seorang suami atau isteri untuk mengambil langkah dengan membuat permohonan pengesahan cerai tersebut di mana-mana Mahkamah yang berbidangkuasa iaitu di mana tempat anda bermastautin.
Sekiranya berlaku sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami, baik berbentuk lafaz yang soreh atau secara tulisan, atau di hadapan orang lain, atau pengakuan suami kepada seseorang yang lain atau apa jua sekalipun yang membangkitkan keraguan di sisi suami atau isteri atau kedua-duanya samaada talaq telah jatuh atau tidak maka jalan yang terbaik adalah dengan membuat pengesahan lafaz talak di Mahkamah.
Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam suatu permohonan pengesahan cerai:
Siapa yang boleh memfailkan permohonan ini?
Suami atau isteri atau kedua-duanya boleh memfailkan permohonan ini.
Di mana ianya boleh difailkan?
Di Mahkamah Rendah Syariah terdekat dengan tempat tinggal suami atau isteri atau kedua-duanya, mengikut siapa yang akan memfailkan permohonan tersebut sebagai Plaintif.
Apakah yang perlu dinyatakan dalam permohonan tersebut?
Tarikh, tempat, masa dan cara lafaz cerai tersebut dibuat.
Keadaan suami semasa mengucapkan lafaz tersebut dengan kerelaan sendiri atau dipaksa dan kepada siapa suami mengucapkan lafaz tersebut. Perlulah diingat bahawa pengesahan cerai juga adalah perlu sekiranya suami membuat penyataan pengakuan bujang samada diucapkan di hadapan orang lain atau kawan-kawannya walaupun secara gurauan.
Adakah saksi yang mendengar atau menyaksikan lafaz tersebut dibuat?
Sekiranya suami tidak hadir ke Mahkamah untuk pengesahan cerai ini, isteri hendaklah berusaha membawa saksi berkenaan ke Mahkamah untuk mengesahkan berkenaan lafaz ini di hadapan Hakim. Tetapi sekiranya suami hadir dan mengakui bahawa lafaz itu telah dibuat, maka tidak perlu untuk isteri membawa saksi.
Apakah yang akan berlaku selepas kes difailkan?
Sekiranya hanya isteri yang mahu mengesahkan cerai, Mahkamah akan mengarahkan isteri untuk menyerahkan permohonan pengesahan cerai itu kepada suami.
Sekiranya suami gagal untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh yang dinyatakan, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa suami hadir pada tarikh seterusnya.
Sekiranya isteri ada membawa dua orang saksi lelaki muslim yang mendengar lafaz oleh si suami, sekalipun suami tidak hadir, Mahkamah boleh meneruskan dengan perbicaraan pengesahan cerai itu dengan mendengar keterangan saksi-saksi.
Lafaz cerai yang menjadi isu akan diperiksa Mahkamah samaada merupakan lafaz soreh atau lafaz kinayah.
Sekiranya lafaz berbentuk lafaz soreh, dan suami melafazkan dengan kerelaan sendiri (bukan atas paksaan sesiapa, dan paksaan juga hendaklah paksaan yang melibatkan nyawa atau cedera), Mahkamah boleh mensabitkan bahawa talaq telah jatuh. Walaupun suami mengatakan dia dipaksa oleh isteri (tanpa ugutan cedera atau bunuh) atau melafazkan atas permintaan isteri, talaq tetap boleh jatuh.
Lafaz soreh tidak perlu kepada niat suami. Jadi, sekalipun suami hanya bergurau dengan kawannya dan mengatakan, sebagai contoh, “aku ceraikan isteri aku” atau “dia dah kena cerai talaq tiga”, cerai tetap boleh jatuh.
Manakala bagi lafaz kinayah (iaitu apa jua lafaz selain “aku ceraikan kau” atau “aku lepaskan kau” atau “aku talaq kau”), suami akan ditanya berkenaan niatnya semasa membuat lafaz tersebut. Perbincangan berkenaan lafaz kinayah ini merangkumi lafaz berbentuk tulisan (sekalipun jika dibaca dengan lidah, ia berbentuk lafaz soreh), lafaz yang tidak pasti (seperti “aku nak ceraikan kau” atau “aku ingin cerai kau”).
Dalam keadaan-keadaan ini, sekalipun isteri amat yakin bahawa suami memang berniat untuk menceraikannya, namun Mahkamah hanya akan memberi perhatian kepada pengakuan suami itu sendiri, kerana hanya suami itu dan Allah sahaja benar-benar tahu apa niat sebenar si suami semasa membuat lafaz kinayah tersebut.
Sekian, wallahualam
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi kami;-
010-2520570- Admin
Faridah & Associates > Artikel > Artikel > LAFAZ CERAI DI LUAR MAHKAMAH, APA PERLU SAYA BUAT JIKA TELAH BERLAKU?