Harta Sepencarian

KEHENDAK UNDANG-UNDANG BERKAITAN HARTA SEPANCARIAN

Di dalam menentukan apa-apa aset/harta sebagai Harta sepencarian, kita hendaklah memahami kehendak undang-undang bahawa maksud harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-

  1. Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha bersama mereka;
  2. Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan
  3. Harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ oleh pihak yang satu itu atau dengan usaha bersama suami isteri.

Dalam kes dari Wilayah persekutuan, Yang Chik lwn. Abdul Jamal (1986) 6 JH 146, Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman, Kadi Besar telah berkata:
“Konsep harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbang tenaga atau wang ringgit untuk mendapat harta tersebut”.

Jika si suami yang menceraikan tanpa ada sebarang kesilapan di pihak isteri,
suami mestilah memberi nafkah selama tiga bulan dan semua harta perlu dibahagikan. Harta yang merupakan senjata atau alat perang diserahkan kepada suami. Dia juga akan menanggung apa-apa hutang atau cukai. Sementara semua perkakasan rumah dan tembaga akan diserahkan kepada isteri. Isteri juga akan mendapat rumah perkahwinan yang mereka diami serta tanah.

Jika si isteri yang memohon cerai,
Isteri hanya akan memperoleh perceraian jika dia dapat membuktikan kesnya (fasakh) dan selepas perceraian, isteri perlu mengembalikan semua harta boleh alih kepada suaminya. Ini bermakna, mengikut adat Temenggung, isteri tidak boleh memohon cerai dan jika dia berbuat demikian, dia kehilangan hak harta boleh alih daripada suaminya.

Undang-undang adat Temenggung ini berbeza-beza dari satu negeri ke negeri yang lain. Contohnya di Perak, apabila perceraian berlaku, seorang isteri yang telah menyumbangkan usahanya mengerjakan tanah milik pasangan tersebut, adalah berhak ke atas separuh daripada tanah yang diperoleh ketika perkahwinan.

Sedangkan, jika dia tidak memberikan apa-apa sumbangan, dia tetap akan mendapat 1/3 daripada harta sepencarian.
Prinsip yang sama juga terpakai seandainya mana-mana pasangan meninggal dunia. Harta yang selebihnya akan diberikan kepada anak-anak atau ahli keluarga yang lain mengikut hukum faraid.

 

HUKUM SYARAK

Islam menerima pemakaian apa-apa adat selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jika dilihat kepada dua kes yang lama itu, jelas bahawa tuntutan harta sepencarian telah berlaku sebelum merdeka iaitu seawal 1919. Ia bukan perkara baharu di Malaysia dan akhirnya hukum adat ini dikanunkan sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam yang ada di Malaysia.

Adat Perpatih juga turut memperuntukkan mengenai harta sepencarian. Namun begitu ia menggunakan prinsip yang agak berbeza. Menurut adat ini harta sepencarian perlu dibahagikan mengikut prinsip berikut: Carian Bahagi, Dapatan Tinggal, Pembawa Kembali, Suku Belah, Suarang Berage. Maksudnya apa-apa harta yang diperoleh ketika berkahwin perlulah dibahagi di antara pasangan seandainya mereka bercerai. Jika mereka tiada anak dan suami mati maka harta itu akan menjadi milik isteri, prinsip yang sama juga terpakai jika isteri yang mati.

Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka pembahagian yang akan dilakukan ke atas harta tersebut perlulah dibincangkan terlebih dahulu dengan semua benefisiari. Di dalam adat ini juga harta sepencarian tidak termasuk apa-apa harta yang diperoleh oleh suami sebelum perkahwinan dan dibawa masuk ke dalam perkahwinan. Harta tersebut akan dipulangkan kepadanya semula jika bercerai dan jika mati kembali kepada sukunya. Prinsip yang sama juga diaplikasikan kepada isteri.