Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi oleh pasangan suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang sah, iaitu sumbangan daripada suami dan isteri terhadap perolehan harta itu, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Sumbangan secara langsung adalah dalam bentuk sumbangan yang jelas dan hakiki sama ada modal dalam bentuk wang ringgit dan usaha sama antara suami dan isteri terhadap perolehan satu-satu harta.
Sumbangan secara tidak langsung adalah sumbangan bersifat nisbi dan subjektif, yang membabitkan sumbangan atas dasar keikhlasan, kasih sayang, kesetiaan, ketaatan dan sebagainya yang memberi kesan kepada kebahagiaan rumah tangga, ketenangan jiwa dan minda pasangan dalam memberi kesan kepada perolehan harta.
Konsep Harta Sepencarian berasal daripada hukum adat Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum Syarak, maka ia diterima pakai dan menjadi sebahagian daripada undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan hak untuk menuntut Harta Sepencarian terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Secara tidak langsung konsep Harta Sepencarian terpakai untuk semua pasangan Muslim, tidak mengira bangsa. Perlu difahami bahawa Harta Sepencarian adalah satu hak untuk pasangan suami isteri yang mana hak ini hanya akan diperoleh melalui tuntutan.Sekiranya tiada tuntutan, maka masing-masing tidak akan mendapat hak mereka.
Tuntutan Harta Sepencarian boleh dilakukan dalam tiga, keadaan, selepas perceraian atau selepas kematian dan juga semasa di dalam tempoh poligami.Dalam kes yang membabitkan tuntutan selepas kematian, pengagihan Harta Sepencarian akan mendahului pembahagian harta pusaka. Ini bermaksud, harta pusaka yang melibatkan harta-harta yang dituntutan di dalam tuntutan harta sepencarian tidak akan dapat diagihkan kepada waris selagi mana kes tuntutan Harta Sepencarian belum lagi diselesaikan.
Untuk mengurangkan beban pasangan selepas kematian dan memastikan bahawa pembahagian harta pusaka berjalan dengan lancar, Deklarasi Harta Sepencarian satu instrumen yang penting dalam memastikan bahawa pengagihan Harta Sepencarian tidak melalui jalan sukar.
Ia satu dokumen perjanjian bersama antara suami isteri untuk menyatakan pembahagian tertentu yang dipersetujui bersama dalam memberikan hak kepada mereka terhadap satu-satu harta.
Memandangkan pengagihan harta sepencarian mendahului pembahagian harta pusaka, Deklarasi Harta Sepencarian menjadi instrumen untuk memastikan bahawa pasangan memperoleh harta tertentu dalam bahagian yang tertentu.
Selain itu, untuk memastikan hak-hak pasangan suami isteri itu dapat dijaga dan dipenuhi tanpa adanya pertelingkahan, terutamanya apabila berlaku kematian salah satu pihak, pihak-pihak boleh membuat deklarasi pembahagian harta sepencarian yang mana dipersetuji oleh kedua-dua belah pihak.
Kelebihan membuat Deklerasi Harta Sepencarian ialah:
- Dengan menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian masalah yang mungkin timbul akibat tuntutan Harta Sepencarian dapat diatasi
- Aset tidak termasuk dalam pembahagian mengikut Faraid
- Kedua-dua pihak boleh membuat keputusan dan bersetuju dengan pembahagian masing-masing
- Hak suami isteri sentiasa dilindungi sepertimana yang dipersetujui di dalam deklarasi tanpa pertelingkahan
- Proses pembahagian yang cepat tanpa perlu membuat tuntutan ke mahkamah
- Menjimatkan kos tanpa perlu ke mahkamah untuk membuktikan sumbangan kedua-dua pihak
- Memudahkan dan memberi keselesaan kerana kehendak semua pihak telah dipenuhi.
Sekiranya seorang suami ingin memberi isterinya lebih daripada apa yang sepatutnya melalui faraid, atau ingin memastikan bahawa rumah yang mereka duduki akan diwarisi isterinya, maka Deklarasi Harta Sepencarian merupakan penyelesaian terbaik.
Sebarang kemusykilan berkaitan harta sepencarian sila hubungi pihak kami.