Nafkah Anak

ANAK adalah anugerah Allah SWT kepada suami isteri dan penyeri sebuah rumah tangga. Sebagai ibu bapa, tentunya mempunyai tanggung jawab terhadap anak-anak mereka. Anak mempunyai hak terhadap ibu bapanya. Hak anak bermula dengan nasab yang sah dan dari situ maka lahirlah hak-hak seperti; hak nafkah, pendidikan dan lain-lain.

Nafkah anak adalah kewajipan bapa berasaskan surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: …Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menuntut yang sepatutnya… Ayat ini diperkuatkan oleh hadis Rasulullah SAW kepada Hindun, “Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang maaruf.”

Pada pandangan ulama jumhur, anak-anak yang berhak kepada nafkah adalah anak yang sah taraf, anak kepada anak (cucu) yang furu’ ke bawah.

Siapakah yang wajib membayar nafkah? Jika berasaskan surah al-Baqarah di atas, maka yang wajib nafkah ialah bapa sekiranya ia masih hidup dan mampu.

Menurut ulama Hanafi, jika bapa tidak mampu kerana fakir atau tidak sihat untuk bekerja, maka nafkah hendaklah ditanggung oleh datuk sebelah bapa atau ibu kepada anak-anak. Nafkah yang dibiayai oleh datuk kepada anak atau ibunya ketika bapa anak tidak mampu memberi nafkah kerana kesempitan wang, maka jumlah tersebut boleh dituntut semula. Dalam hal ibu anak dan datuk sebelah bapa ada bersama untuk membiayai nafkah anak ketika ketiadaan bapa, maka jumlahnya ialah 1/3 bagi ibu dan 2/3 bagi datuk.

Bagi ulama Maliki nafkah adalah kewajipan bapa sahaja.

Ulama Shafie berpandangan bahawa kewajipan nafkah adalah bapa dan jika dia tidak mampu, ia jatuh kepada ibu. Jika ada ibu anak, saudara lelaki dan datuk, maka bahagian nafkah adalah 1/3 seorang. Imam Shafie berpendapat datuk berkewajipan membiayai nafkah cucunya dalam ketiadaan bapa. Jumlah nafkah anak adalah mengikut kemampuan pemberi nafkah.

Ulama Shafie juga berpandangan bahawa nafkah anak yang tidak berbayar adalah hutang jika diputuskan oleh mahkamah atau jika bapa dengan sengaja enggan membiayai nafkah.

Enakmen

Pada hari ini nafkah anak boleh dituntut melalui enakmen undang-undang keluarga Islam. Menurut seksyen 73, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Jika dilihat daripada peruntukan ini, bapa berkewajipan menanggung nafkah anaknya. Nafkah bermakna tempat tinggal, makan, minum, pakaian, perubatan dan pelajaran mengikut kemunasabahan dan kemampuannya.

Hey! I am first heading line feel free to change me

I am promo text. Click edit button to change this text. Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Ut elit tellus, luctus nec ullamcorper mattis, pulvinar dapibus leo.